JALAN KEMATIAN.
Ingatlah bahawa setiap yang hidup dan bernafas akan menghadapi Mati dan ianya tetap datang apabila sampai masa yang telah dijanjikan dan ianya tidak boleh lagi ditangguh-tangguh walaupun sesaat.
Firman Allah; Al-Ankabut : 57
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ ۗ ثُمَّ اِلَيْنَا تُرْجَعُوْنَ
“Tiap-tiap yang berjiwa (bernyawa) itu akan merasai mati, Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembaikan“
Oleh itu;
“Wahai saudara hendaklah ingati,
Dirimu itu akan kembali,
Menemui Tuhan,
Menuntut janji,
Di saat ketika, di suatu hari,
Sakratul-maut akan menghampiri
Nescayalah kita menemui mati”.
Adapun yang dimaksudkan dengan Mati adalah kembalinya Diri Rahasia kita kepada Allah swt dan tamatnya perkhidmatan kita Menjaga, Menanggung dan Mengembalikan Diri Rahasia Allah kepada Diri Empunya Diri dan kita akan terus hidup di satu alam yang baru dan kekal hidup buat selamanya.
Di samping itu juga perlu di ingatkan bahawa Kematian tidak pernah mengenal tua atau muda, miskin atau kaya, alim atau jahil, bodoh atau cerdik, raja atau rakyat bila sahaja sampai saat ketikanya maka manusia itu tetap akan menghadapi maut.
Firman Allah; Al-Jumu’ah : 8
قُلْ اِنَّ الْمَوْتَ الَّذِيْ تَفِرُّوْنَ مِنْهُ فَاِنَّهٗ مُلٰقِيْكُمْ
“Katakanlah. sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya. maka sesungguhnya kematian itu akan tetap menemui kamu”
Dan firman Allah lagi; Yunus : 49
اِذَا جَآءَ اَجَلُهُمْ فَلَا يَسْتَئۡخِرُوْنَ سَاعَةً وَّلَا يَسْتَقْدِمُوْنَ
“Apabila telah datang ajal. maka mereka tidak dapat ditangguh walaupun sesaat dan tidak pula mendahulukannya“
Banyak dari kalangan kita berkata bahawa kita tidak akan mengetahui bila seseorang itu akan menghadapi Mati, tetapi sebenarnya jika kita mempelajari bersungguh-sungguh dan berjaya pula menyucikan diri kita dengan Allah swt dan sampai pula kepada martabat Ma'krifat dengan Allah swt nescaya kita akan diberitahu akan masa Kematian kita. Bagi orang-orang Hakiki dan Ma'krifat dengan Allah swt, orang-orang Ariffin Billah dan Para Wali-Wali Allah, mereka diberitahu.
Di alam Ilmu Ghaib melalui Laduni tentang berita Kematian mereka atau lebih dikenal oleh Para Tasawwuf sebagai "PERINTAH KEMBALI". Biasanya Perintah Kembali ini akan diperolehi oleh mereka setahun sebelum saat Kematiannya. Pada kelazimannya mereka menerima 'Notis Kematian' itu melalui Laduni sebanyak lima kali didalam masa hidupnya.
1) Setahun sebelum Mati
2) Enam bulan sebelum Mati
3) Seratus hari sebelum Mati
4) Empat puluh hari sebelum Mati
5) Tujuh hari sebelum Mati dan seterusnya bergantung kepada kesucian hati seseorang.
Berita Kematian melalui Laduni itu akan disambut oleh Para Ariffin Billah dengan Senyum, Senang dan Lapang sekali walaupun sepatutnya disaat itu merupakan sesuatu saat cemas yang harus ditempuh oleh mereka.
Notis Kematian ini adalah merupakan satu Anugerah besar kepada Para-Para Ariffin Billah untuk mereka membuat persiapan akhir bagi menyerahkan Amanah Diri Rahasianya kepada Diri Empunya Diri Tuhan semesta alam dan sesungguhnya berbahagialah bagi mereka yang mendapat Notis tersebut.
Adapun 'Alamat' atau 'Petua' tanda-tanda seseorang itu akan menghadapi Mati seperti yang pernah diterangkan oleh beberapa orang Ulama Tasawwuf adalah seperti berikut;
1) Jika bergerak sekalian tubuh dan merasai suatu nikmat yang amat sangat itulah tanda satu tahun lagi kita akan Mati. maka bertaubatlah banyak-banyak.
2) Jika bergerak pusat, bermakna empat puluh hari lagi kita akan Mati.
3) Jika bergerak jantung, bermakna dua puluh hari lagi kita akan Mati.
4) Jika bergerak dari pusat menghala naik hingga ke ubun-ubun kita dan berpatah balik dan berhenti di buku leher sama tengah dengan halkum kita berserta dengan satu nikmat yang amat sangat rasanya, ini bermakna tujuh hari lagi kita akan Mati.
5) Jika bergerak anak lidah ini bermakna lima hari lagi kita akan Mati.
6) Jika bergerak ھى مطلق ataupun ق قوسر iaitu di antara dua kening kita dengan suatu nikmat yang amat sangat rasanya. ini bermakna tiga hari lagi kita akan Mati.
7) Jika bergerak dahi kita ini bermakna dua hari lagi kita akan Mati.
8) Jika bergerak ubun-ubun kita di antara waktu Zohor dengan Asar, ini bermakna satu hari lagi kita akan Mati.
9) Jika bergetar pusat terus menghala ke hujung salbi lalu terus bergerak menghala ke arah tulang belakang dan terus naik ke ubun-ubun kita, maka dengan kuasa Allah swt sampailah saatnya kita meninggal dunia yang Fana ini dan kembalilah kehadrat Allah swt.
Firman Allah swt; Al-Baqarah : 156
قَالُوْۤا اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّـاۤ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ
“Daripada Allah kita datang, maka kepada Allah kita kembali”
Adapun ketika kita menghadapi Sakaratul Maut, maka kita akan menghadapi beberapa rupa yang amat banyak.
Jika datang rupa yang hitam itu adalah iblis, maka adalah wajib kita berkata;
لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ ٱللَّٰهِ
Jika datang rupa merah maka itu adalah Nasrani, maka hendak juga mengucap;
لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ ٱللَّٰهِ
Jika datang rupa kuning maka itu adalah Yahudi. maka mengucaplah;
لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ ٱللَّٰهِ
Malahan jika datang mana-mana rupa yang tidak berwarna putih (Rupa putih), maka wajiblah kita mengucap;
لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ ٱللَّٰهِ
Maka apabila sahaja datang rupa berwarna putih iaitu rupa Nabi saw, maka hendaklah kita mengucap;
“Semoga Allah menjadikan Aku orang mukmin yang sebenar“.
Ingatlah wahai semua Insan, kedatangan rupa-rupa yang di bayangkan di atas hanya sekali sahaja dan kedatangan mereka tidak menentu. Cuma tugas kita adalah menunggu rupa putih iaitu rupa Nabi Muhammad saw dan berkatalah kita;
Adapun bagi orang-orang Ma'krifat dan sampai pula martabatnya serta orang Ariffin Billah dan Wali-Wali Allah, apabila sampai masa saat menghadapi Sakaratul Maut, maka tidak sesiapapun yang dapat mengambil nyawanya kecuali Tuhannya Sendiri dengan menunjukkan wajah rupaNya, seperti yang pernah di lihat oleh Rasulullah saw ketika Mikraj dan Nabi Musa as ketika munajat di bukit Tursina.
Tidaklah boleh dibayangkan, hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui, maka di saat itu dibukakan penglihatan dengan penglihatan Ma'krifat Allah dengan ilmu yang amat sempurna. Maka di saat menghadapi Sakaratul Maut itu hilanglah segala kesakitan yang dahsyat itu dan lekalah kita dengan pandangan Ma'krifat, sehingga kita tidak mengetahui yang kita ini telah terpisah di antara Roh dan Jasad.
Alangkah bertuahnya kita jika kita dapat menemui Mati dengan penuh ketenangan seperti yang pernah dihadapi oleh Para Aulia, Rasulullah dan Para Wali-Wali Allah yang lain.
Akhir Kalam, marilah kita renungi kala kata seorang Ulama Tasawwuf yang berbunyi;
“Mati itu tiada sakat, Setiap hari bertambah dekat, Umpama ikan terlekat di pukat, Sekadar menanti tuannya angkat”.
- Syeh Haqtullah
Ulasan
Catat Ulasan